top of page

Memahami Harta Sepencarian

Akmal Saufi Mohamed Khaled

Oleh

AHMAD SOLEHIN ABD GHANI

Tarikh Kemaskini

27 Apr 2021

Antara perkara yang boleh dituntut bila melibatkan pengagihan harta adalah harta sepencarian. Ianya boleh dituntut oleh isteri mahupun suami. Namun masih ramai lagi dalam kalangan kita yang tidak tahu perkara-perkara penting melibatkan harta sepencarian ini.


Memahami Harta Sepencarian


Harta sepencarian adalah apa sahaja jenis harta yang diperolehi selepas perkahwinan seperti rumah, perniagaan dan kereta. Selain itu, harta yang diperoleh selepas berkahwin tetapi diusahakan dan ditingkatkan nilainya selepas berkahwin juga termasuk dalam kategori harta sepencarian.


Contohnya, Kasim mempunyai satu perniagaan iaitu kedai runcit dan memeliki 1 cawangan sahaja sebelum berkahwin. Selepas berkahwin, dia mengusahakan perniagaannya bersama-sama isterinya dan akhirnya perniagaan tersebut berkembang sehinggalah menjadi 10 cawangan. Perniagaan ini boleh dituntut oleh isterinya dibawah harta sepencarian.


Siapakah dia yang layak memohon Harta Sepencarian


Ianya boleh dituntut oleh pasangan yang masih lagi hidup, isteri atau suami. Andainya dalam proses mahkamah orang yang menuntut itu meninggal, tuntutan boleh diteruskan oleh warisnya. Katakanlah isteri menuntut bahagiannya dalam harta suami yang telah meninggal, tetapi dalam proses tersebut, si isteri pula meninggal, proses tuntutan boleh diteruskan oleh anak-anaknya.


Bagaimana pula jika kedua-dua suami isteri meninggal? 


Waris boleh juga membuat tuntutan harta sepencarian bagi pihak si isteri atau suami, namun berkemungkinan besar akan ditolak oleh mahkamah.


Adakah harta sepencarian ini boleh dituntut selepas meninggal sahaja? Tidak, ia juga boleh dituntut semasa membuat tuntutan poligami atau selepas perceraian.


Berapakah kadar pembahagian harta sepencarian?


Kadar pembahagian harta ditentukan berdasarkan takat sumbangan individu dimana sumbangan disini terdiri daripada dua bentuk iaitu sumbangan lansung (dalam bentuk kewangan) dan sumbangan tidak lansung seperti menjaga anak-anak, rumah tangga serta keharmonian dan keperluan keluarga.


Mungkin anda masih kurang jelas lagi bab sumbangan tidak lansung, jadi mari kita lihat contoh di bawah.


Katakanlah si suami bekerja dan mempunyai gaji tetap bulanan, daripada gaji tersebut si suami telah berjaya membeli beberapa aset seperti rumah dan kereta. Si isteri pula merupakan suri rumah sepenuh masa di mana si isterilah yang telah menjaga anak-anak dan memastikan hal-hal rumah tangga berjalan dengan lancar membolehkan si suami mencari rezeki dengan tenang. Si isteri dianggap telah memberikan sumbangan tidak lansung terhadap pemilikan rumah dan kereta tersebut.


Jika mahkamah mendapati sumbangan bersifat sama rata (suami dan isteri masing-masing menyumbang sama banyak bagi harta tersebut), maka pembahagian akan dibuat sama rata (50% isteri, 50% suami).


Harus diingatkan disini, setiap sumbangan ini perlu disertaka bersama bukti kerana mahkamah tidak akan melayan permintaan kosong. Misalnya si isteri telah menyumbang bayaran ansuran rumah suaminya, si isteri perlu menyediakan bukti berbentuk resit, transaksi bank atau penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Berdasarkan bukti-bukti ini, pihak mahkamah akan menentukan berapakah kiraan pembahagiannya. Dan harus diingatkan bahawa proses tuntutan ini boleh menjadi sangat rumit. Oleh itu anda dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat peguam syarie kerana mereka lebih arif dalam isu ini.


Bila kita boleh menuntut harta sepencarian?


Sebahagian ahli fiqah menetapkan tempoh tuntutan adalah dalam tempoh 33 tahun. Namun tuntutan harta sepencarian mesti dibuat SEBELUM pembahagian harta pusaka dan SELEPAS perbelanjaan pengkebumian jenazah serta melunaskan hutang si mati.


Baiklah, sekarang anda sudah tahu asas-asas berkaitan tuntutan harta sepencarian, seterusnya anda perlu tahu apakah proses dan prosedurnya. Tuntutan harta sepencarian adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah Negeri masing-masing di mana bidangkuasa agama terletak pada bidangkuasa Kerajaan Negeri. Jadi mungkin terdapat sedikit perbezaan antara negeri.

Proses dan prosedur:


  1. Pendaftaran di Mahkamah Tinggi Syariah melalui Saman dan Penyataan Tuntutan;

  2. Sebutan Kes dalam tempoh 21 hari;

  3. Jika ada persetujuaan, akan direkodkan Penghakiman Persetujuan;

  4. Jika tiada persetujuan, pihak-pihak akan memfailkan pliding, seterusnya melalui proses perbicaraan.

  5. Dalam menentukan pembahagian, mahkamah lazimnya akan mengambil kira sumbangan pihak-pihak dalam pemilikan harta itu. Sekiranya sumbangan bersifat sama rata, mahkamah akan membahagikan secara sama rata.


Perlaksanaan Sijil Faraid


Katakanlah selepas proses tuntutan selesai mahkamah memutuskan pembahagian harta sepencerian adalah sama rata bagi rumah kediaman. Bagaimanakah harta tersebut dibahagikan? Pilihan pertama adalah rumah tersebut dijual dan tunainya dibahagikan sama rata. Cara kedua adalah membayar bahagian pasangan, misalnya harga rumah adalah RM300,000, maka si suami membayar RM150,000 kepada si isteri dan si suami mendapat rumah tersebut.


Begitulah serba ringkas proses tuntutan harta sepencarian. Jika masih ada sebarang kekeliruan atau pertanyaan, kami sedia membantu.

Perlukan peguam atau ingin mendapatkan maklumat lanjut?

Notis

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

Penulisan berkaitan

asco law no bg

Mempunyai persoalan, idea atau mahu bekerjasama?

Mengenai Kami

Hub

Maklumat Perundangan

Syarikat Pemula

Hartanah

Perniagaan

ASCO Law.png
Bar council logo.png

AKMAL SAUFI & CO (ASCO) ialah sebuah firma guaman peguam di bawah pengelolaan Badan Peguam Malaysia di bawah Akta Profession Guaman 1976.

bottom of page