top of page

Memahami Pembahagian Harta Pusaka Di Malaysia

Akmal Saufi Mohamed Khaled

Oleh

AHMAD SOLEHIN ABD GHANI

Tarikh Kemaskini

23 Sept 2021

[Klik disini untuk artikel yang telah dikemaskini bagi tahun 2021]


Memulakan proses pembahagian harta pusaka memerlukan ilmu, bantuan serta kesabaran yang tinggi. Sudah pastinya melalui proses ini memerlukan kekuatan dan sokongan dari ahli keluarga kerana ia bukan sahaja soal dokumentasi tapi ia berkait rapat antara yang telah pergi dan masih hidup. Dalam panduan am di bawah, kita akan meneliti perkara dan persoalan berikut;

  • Apakah yang dimaksudkan dengan pembahagian harta pusaka?

  • Bila sesebuah harta menjadi harta pusaka?

  • Apakah jenis harta yang terangkum dalam pembahagian harta pusaka?

  • Apakah undang-undang yang berkait tentang pembahagian harta pusaka?

  • Apa berlaku kepada semua harta kita apabila kita meninggal dunia?

  • Mengapa pembahagian harta pusaka perlu dilakukan dari segi ekonomi?

  • Apakah hukum bagi perlaksanaan pembahagian harta pusaka ke atas umat islam?

  • Bagaimana memulakan proses pembahagian harta pusaka?

  • Siapa layak melantik pentadbir pembahagian harta pusaka?

  • Siapa yang patut melaksanakan pembahagian pusaka jika tiada wasiat atau si mati tidak lantik pentadbir?

  • Siapakah waris harta pusaka?

  • Agensi mana yang terlibat dalam mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka?

  • Proses utama dan tahap pembahagian harta pusaka

  • Peranan wasiat dalam pembahagian harta pusaka

  • Peranan faraid dalam pembahagian harta pusaka

  • Peranan hibah dalam pembahagian harta pusaka

  • Bila pembahagian harta pusaka secara faraid boleh dilaksanakan

  • Apakah itu baki harta pusaka?

  • Apa yang membuatkan sesuatu pembahagian harta pusaka itu adil?

  • Apa yang akan berlaku jika pembahagian pusaka tidak berlaku?

  • Adakah kos pengurusan jenazah termasuk dalam harta pusaka?


Apakah yang dimaksudkan dengan pembahagian harta pusaka?


Pembahagian harta pusaka adalah proses mengagih-agihkan harta si mati yang dimilikinya semasa hayatnya mengikut kewajipan syarak. Antaranya, menguruskan jenazah, menjelaskan hutang si mati, menunaikan wasiat si mati, tuntutan harta sepencarian dan terakhir sekali, membahagikan harta pusaka si mati kepada waris-waris yang berhak.

Bila harta menjadi harta pusaka?


Harta seseorang itu menjadi harta pusaka apabila seseorang itu meninggal dunia.


Apakah harta yang terangkum dalam pembahagian harta pusaka?


Terdapat dua jenis harta yang terangkum dalam pembahagian harta pusaka iaitu harta alih dan harta tak alih. Harta alih seperti wang (simpanan bank, Tabung Haji, KWSP, Public Mutual, ASB, saham, insurans), binatang ternakan, kereta, barang kemas dan perkakas rumah, atau harta tak alih seperti tanah, rumah dan sebagainya.


Apakah undang-undang yang berkait tentang pembahagian harta pusaka?


Terdapat beberapa undang-undang berkait dengan harta pusaka

Antaranya undang-undang Islam berlandaskan Al-Quran iaitu Faraid, undang-undang Malaysia seperti Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Apa berlaku kepada semua harta kita apabila kita meninggal dunia?


Semua harta kita akan dibekukan dan tidak boleh dipindahkan, atau dikeluarkan kecuali dengan adanya Geran Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh Pejabat Pesaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil. Ini bermaksud, tanpa perintah yang disebutkan, waris-waris termasuklah anak-anak serta isteri/suami terhalang daripada menggunakan harta tersebut bagi tujuan kehidupan harian.


Mengapa pembahagian harta pusaka perlu dilakukan dari segi ekonomi?


Pembahagian harta pusaka perlu dilakukan dari segi ekonomi kerana bagi mengelakkan harta terbiar dan tidak terurus, urusniaga tanah tidak dapat dijalankan, wang pampasan tidak boleh dibayar, pemilikan beramai-ramai ke atas harta, wang simpanan si mati dipindah kepada Pendaftar Wang tidak dituntut, dan akan meyulitkan proses pembahagian pusaka.

Apakah hukum bagi perlaksanaan pembahagian harta pusaka ke atas umat Islam?


Hukum bagi perlaksanaan pembahagian harta pusaka ke atas umat Islam adalah wajib

Bagaimana memulakan proses pembahagian harta pusaka?


Pertamanya, ahli waris perlu untuk bersetuju untuk melantik seorang pentadbir untuk membahagikan harta pusaka. Selepas itu, waris Bersama pentadbir, menyemak dan menyenarai senarai harta pusaka dan asset si mati untuk tujuan mengenalpasti.


Seterusnya, jika telah selesai, pentadbir dan ahli waris boleh memulakan prosiding melantik pentadbir sama ada di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi. Pun begitu sekali lagi ini bergantung kepada jumlah nilai harta.


Di pusaka kecil, ia mengambil masa agak lama iaitu 6 bulan ke 1 tahun untuk mendapatkan pentadbir manakala di Mahkamah Tinggi ia akan mengambil masa 3-5 bulan sahaja untuk melantik pentadbir.



Siapa layak melantik pentadbir pembahagian harta pusaka?


Persoalan siapa yang layak adalah sangat subjektif. Tetapi menjadi amalan waris terdekat seperti anak, pasangan (suami/isteri), ibu atau ayah akan menjadi pentadbir. Kebiasaannya, ia diberikan kepada waris yang masih sihat dan berkemampuan untuk menjadi pentadbir kepada harta pusaka si mati.


Siapa yang patut melaksanakan pembahagian pusaka jika tiada wasiat atau si mati tidak lantik pentadbir?


Ahli waris perlu memilih dan melantik seorang pentadbir bagi melaksanakan pembahagian pusaka tersebut sama ada, ada wasiat atau pun tiada wasiat.


Siapakah waris harta pusaka?


Sekiranya kesemua waris pihak lelaki dan perempuan wujud, maka waris yang diutamakan dan lebih berhak ke atas pusaka ialah:


Bapa kepada si mati, Ibu kepada si mati, Suami atau isteri, Anak lelaki, dan Anak perempuan.


Waris yang dinyatakan di atas adalah waris yang tidak dilindungi atau didinding oleh waris-waris lain daripada memperolehi harta pusaka.

Agensi mana yang terlibat dalam mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka?


Terdapat 3 agensi/entiti yang terlibat dalam melakukan pembahagian harta pusaka;


Pertama, Pejabat Pesaka Kecil (Harta Pusaka kurang daripada RM2 Juta, ada harta tak alih)


Keduanya, Mahkamah Tinggi (Harta pusaka lebih daripada RM2 Juta)


Ketiganya, Amanah Raya (Hanya ada harta alih yang bernilai tidak melebihi RM600 ribu)

Proses utama dan tahap pembahagian harta pusaka


Apabila pemilik harta meninggal, ada lima (5) perkara wajib dilaksanakan oleh waris mengunakan harta pusaka si mati (sekiranya ada). Perkara yang dimaksudkan adalah:


1. Menguruskan jenazah

Perbelanjaan  mengurus jenazah seperti pembelian kain kafan, keranda, penutup liang lahad, upah mandi, gali kubur dan upah membawa mayat ke kubur boleh diambil daripada harta pusaka si mati

Perkara tidak dituntut oleh syarak seperti kenduri arwah tidak boleh diambil dari harta pusaka dan ia perlu ditanggung oleh waris sendiri.



2. Menjelaskan hutang si mati

Hutang si mati yang wajib dijelaskan terbahagi kepada dua (2) jenis iaitu:

Hutang kepada Allah – Zakat, Kifarah, Nazar, Haji, Fidyah dan Hutang kepada manusia



3. Menunaikan wasiat si mati

Jika si mati ada meninggalkan wasiat, atau melaksanakan hibah, maka pembahagian itu perlu dilakukan terlebihdahulu sebelum pembahgian harta pusaka.

Wasiat yang dibenarkan tidak melebihi 1/3 daripada harta bersih si mati dan tidak berwasiat kepada yang berhak menerima pusaka (waris)



4. Harta Sepencarian

Sebelum pusaka si mati dibahagikan kepada waris sama ada secara faraid atau secara sepakat, isteri atau suami si mati berhak menuntut bahagian harta sepencarian daripada harta pusaka si mati mengikut kadar tertentu yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Kebiasaannya, 1/2 : 1/2 atau 2/3 : 1/3 bergantung kepada sumbangan masing-masing kepada harta tersebut.

Dua (2) cara tuntutan, iaitu secara sepakat dengan para waris, atau melalui Mahkamah Syariah.



5. Membahagikan Harta Pusaka

Harta pusaka si mati wajib dibahagi-bahagikan kepada waris-waris yang berhak setelah diselesaikan kesemua empat (4) perkara yang telah diterangkan sebelum ini (i > iv).


Pembahagian pusaka boleh dibuat secara sepakat ataupun mengikut FARAID (bahagian-bahagian yang ditetapkan oleh syarak di dalam Al-Quran).

Peranan wasiat dalam pembahagian harta pusaka

Wasiat merupakan kewajipan yang ke 3 yang perlu dilakukan oleh waris selepas kos pengurusan jenazah dan pembayaran hutang. Jika si mati ada meninggalkan wasiat, atau melaksanakan hibah, maka pembahagian itu perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pembahagian pusaka. Wasiat yang dibenarkan tidak melebihi 1/3 daripada harta bersih si mati dan tidak berwasiat kepada yang berhak menerima pusaka (waris).

Peranan faraid dalam pembahagian harta pusaka


Faraid berperanan memastikan seseorang itu waris atau bukan waris, menentukan saham setiap waris yang berhak dan bahagian setiap waris dibahagi dengan cara pengiraan yang betul dan adil.

Peranan hibah dalam pembahagian harta pusaka


Hibah bermaksud hadiah iaitu kita memberi harta ataupun kita menghadiahkan harta kepada sesiapa yang kita sukai dengan syarat kita memberi ataupun mengisytiharkan pemberian kita itu semasa kita hidup. Harta tersebut boleh diserahkan melalui pelbagai cara sama ada diserahkan terus kepada penerima hibah, diambil setelah kita meninggal dunia ataupun apabila sampai masa ditentukan.


Apabila harta diserahkan semasa hidup, terpulanglah kepada empunya harta untuk berbuat demikian. Tetapi kita disarankan supaya melaksanakan pembahagian hibah itu dengan sebaik baiknya agar tidak timbul fitnah di kemudian hari.

Bila pembahagian harta pusaka secara faraid boleh dilaksanakan

Pembahagian harta pusaka boleh dilakukan pada bila-bila masa selepas hari kematian. Kebiasaannya, ia dilakukan selepas tempoh bertenang ahli keluarga tamat (1-3 bulan selepas tarikh kematian).

Apakah itu baki harta pusaka?

Baki harta pusaka boleh berlaku dalam keadaan bila mana tiadanya waris lelaki atau waris asabah yang akan menghabiskan harta tersebut. Maka dalam keadaan ini, baki harta pusaka tersebut akan diserahkan kepada Baitulmal.



Apa yang membuatkan sesuatu pembahagian harta pusaka itu adil?


Sesuatu pembahagian harta pusaka itu adil bila mana ia dilakukan mengikut persetujuan semua pihak atau dilakukan mengikut kiraan faraid.



Apa yang akan berlaku jika pembahagian pusaka tidak berlaku?



Jika pembahagian pusaka tidak berlaku, harta pusaka tidak boleh dicairkan, dan berkemungkinan akan menjadi berlapis lapis sekiranya tidak dibahagikan diperingkat awal.


Proses pembahagian akan menjadi sangat sukar, dan jika tidak diselesaikan, asset-aset tersebut akan terbengkalai begitu sahaja tanpa pertukaran nama kepada waris yang masih hidup.



Apakah kos pembahagian harta pusaka?


Kos pembahagian harta pusaka bergantung kepada agensi/entiti pembahagian harta pusaka yang waris tersebut ambil.

Kebiasaannya, Pejabat Pusaka Kecil adalah murah, tetapi tempohnya sangat lama untuk selesai kerana terlalu banyak kes yang dikendalikan.


Jika bawa ke Mahkamah Tinggi, anda perlu melantik peguam, dan kos peguam adalah antara yang perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak.


Selain itu, waris juga perlu ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan sijil Faraid dan kos tersebut perlu ditanggung oleh waris-waris.



Adakah kos pengurusan jenazah termasuk dalam harta pusaka?


Ya, perbelanjaan mengurus jenazah seperti pembelian kain kafan, keranda, penutup liang lahad, upah mandi, gali kubur dan upah membawa mayat ke kubur boleh diambil daripada harta pusaka si mati. Walau bagaimanapun ini tidak termasuk sebarang kos-kos majlis yang dilaksanakan bagi si mati.

Perlukan peguam atau ingin mendapatkan maklumat lanjut?

Notis

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

Penulisan berkaitan

asco law no bg

Mempunyai persoalan, idea atau mahu bekerjasama?

Mengenai Kami

Hub

Maklumat Perundangan

Syarikat Pemula

Hartanah

Perniagaan

ASCO Law.png
Bar council logo.png

AKMAL SAUFI & CO (ASCO) ialah sebuah firma guaman peguam di bawah pengelolaan Badan Peguam Malaysia di bawah Akta Profession Guaman 1976.

bottom of page